Luahan: Hana
Sebelum ini saya pernah terbaca tentang seorang suami yang dicurangi kerana lelaki lain itu selalu mengambil berat tentang isterinya. Saya amat-amat terasa tentang part curang kepada suami itu kerana ianya adalah satu perbuatan yang tak patut dilakukan oleh seorang isteri terhadap suaminya. Kata suami tersebut, isterinya pandai berdikari sehingga boleh hidup bersendirian tanpa bantuan sesiapa. Memang wanita sekarang lebih berjaya jika nak dibandingkan dengan wanita dahulu. Itulah sebabnya orang perempuan lebih ramai memenuhi institusi-institusi pengajian tinggi di negara kita dan lebih ramai memenuhi jawatan-jawatan tinggi dalam sektor pekerjaan.
Nama saya Hana dan saya adalah salah seorang isteri berdikari (independent wife) dari jutaan isteri-isteri sebegitu di atas muka bumi ini. Saya tinggal bersama-sama suami dan bukannya tinggal berjauhan atau pun PJJ seperti isteri yang curang itu. Saya dan suami telah saling kenal mengenali hati budi masing-masing selama empat tahun sebelum mendirikan rumahtangga. Saya mempunyai kerjaya sendiri yang sesuai dengan ijazah yang saya pegang. Alhamdulillah rezeki saya sentiasa ada dan tidak pernah menganggur selepas menamatkan pengajian.
Saya sudah terbiasa hidup berdikari sejak saya menjejakkan kaki di universiti dan saya juga ada melakukan kerja-kerja part time untuk menampung kehidupan seharian di kampus dan menampung duit sewa bilik bulanan. Jadi ibu bapa saya tidaklah terbeban sangat untuk menanggung perbelanjaan saya. Saya bukannya datang dari keluarga yang senang. Sebab itulah saya ingin berdikari tanpa menyusahkan keluarga. Selepas bekerja, saya tetap menyewa di bilik sewa yang lama. Saya membeli kereta sendiri supaya mudah nak ke mana-mana. Tak perlu menaiki pengangkutan awam dan tak perlu menyusahkan teman-teman dan buah hati.
Salah satu sebab saya mudah berdikari adalah disebabkan saya merupakan anak sulong. Sejak kecil saya dibiasakan dengan kerja-kerja di rumah, menjaga adik-adik dan masa saya banyak dihabiskan dengan tanggungjawab dalam keluarga. Ibu selalu pesan supaya jangan harapkan sesiapa dan kena usaha sendiri jika nak berjaya. Saya sentiasa ingat akan pesanan tersebut. Saya jadikan azimat untuk buatkan saya lebih cekal dan kuat bila berada di tempat orang. Susah senang saya hadapinya sendiri walaupun pada ketika itu teman-teman sentiasa berada di belakang saya.
Suami saya pula anak terakhir. Dia dari kelurga biasa-biasa sahaja. Dia bukanlah anak manja, cuma dia dibesarkan dengan mindset 'kerja rumah untuk orang perempuan'. Di awal perkahwinan saya memang mengalami masalah atas mindset tersebut. Maklumlah, saya pun bekerja dan terpaksa pula melakukan segala bagai kerja-kerja di rumah. Belum sempat berehat bila balik dari kerja, ada saja kerja-kerja yang sedang menunggu sedangkan suami balik kerja terus baring di sofa menonton televisyen atau pun tidur.
Semasa saya bujang-bujang dulu, saya menyewa bilik sahaja. Jadi tak banyak kerja mengemas dan tiada siapa yang nak tengok. Seminggu sekali berkemas pun tak mengapa. Sekarang ini sudah duduk berdua bersama suami di rumah baru, haruslah sentiasa bersih, kemas dan teratur. Lebih-lebih lagi ada masanya ibu bapa saya dan mertua akan datang berkunjung. Malulah jika rumah dalam keadaan tidak terurus.
Selang setahun berkahwin, kami diuji dengan ujian yang berat di mana syarikat suami saya bekerja akan ditutup. Ini bermakna suami akan diberhentikan kerja. Sememangnya susah hendak mendapatkan pekerjaan sekarang ini. Jika bekerja sebagai pump attendant atau cashier di speedmart memanglah ada, tetapi berapalah sangat gajinya. Suami saya memerlukan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya dan stabil kerana kos sara hidup di kota raya sememangnya terlalu tinggi. Memanglah saya mempunyai gaji yang agak besar, namun takkan lah saya yang perlu menanggung segala kos?
Selama sebulan lebih saya carikan suami kerja. Suami ada juga menghantar resume ke sana sini namun hampa. Saya tertekan dan sentiasa berdoa agar suami lekas-lekas mendapat pekerjaan yang sesuai. Sampai bila saya harus menjadi ketua dalam mencari nafkah keluarga? Suami bukanlah seorang yang tidak bertanggungjawab, cuma saya rasakan sedikit bimbang kalau-kalau suami rasa amat selesa dengan hidup sekarang ini. Saya bayarkan duit sewa rumah, installment kereta, pinjaman PTPTN saya dan suami, bill TNB, bill Astro dan sebagainya. Saya khuatir suami mengambil kesempatan di atas keupayaan saya dan menjadi malas mencari pekerjaan.
Prinsip saya mudah sahaja, what you give, you get back. Saya tidak mahu membebankan diri sendiri keseorangan dan saya tidak mahu memaksa diri melakukan sesuatu yang melebihi had. Jadi kami buat pembahagian tugas serta commitment. Segala kerja-kerja rumah kami bahagi dua. Pada permulaan, suami banyak komplen serta merungut. Katanya itu 'kerja saya' tetapi saya pekakkan telinga sahaja. Ketika itu kami tiada mesin basuh lagi, jadi setiap minggu kami ke coin laundry untuk membasuh serta mengeringkan baju.
Baju yang kami kumpul untuk dibasuh biasanya banyak. Jadi suamilah yang akan angkat kerana saya berikan alasan ianya berat walaupun saya mampu untuk mengangkatnya. Kadang-kadang saya sengaja minta tolong ambilkan itu ini, belikan itu ini walaupun saya mampu melakukannya. Tujuan saya bukanlah untuk membuli suami, tetapi ingin suami involve dalam hal rumahtangga. Saya tidak mahu melakukannya seorang. Kemas tempat tidur pun saya minta suami susunkan bantal dan saya ajak dia lipat comforter sekali. Pendek kata segala kerja yang saya buat di rumag, suami sudah pandai melakukannya kecuali memasak. Bab memasak, biarlah saya yang melakukannya. Air tangan seorang isteri tu lebih berkat buat seorang suami, betul tak?
Alhamdulillah setelah tiga bulan suami menjadi penganggur tehormat, rezeki datang kepadanya. Dia ditawarkan kerja yang sesuai dengannya. Bermakna selama tiga bulan itulah saya telah membayar segala kos overhead keluarga. Walaupun suami telah bekerja dan boleh membayar segala perbelanjaan, kami berkongsi membayarnya bersama namun suami membayar lebih dari yang saya bayar walaupun pendapatan saya lebih darinya. Barulah adil kerana tanggungjawab isteri bukanlah mencari nafkah.
Sekarang ini suami sudah boleh menerima konsep perkongsian dalam perkahwinan. Bukan dari aspek perbelanjaan keluarga sahaja, tetapi dia sudah tahu mengurus hal ehwal rumahtangga. Pernah juga dia beritahu saya yang dia rasa bangga dengan dirinya sendiri kerana sudah mampu melakukan dua tugas iaitu mencari nafkah dan membantu saya dalam hal ehwal rumahtangga.
Setelah suami diuji, kini giliran saya pula diuji. Ketika saya mengandungkan anak pertama, syarikat tempat saya bekerja pula mengalami masalah dan terpaksa ditutup. Saya menjadi amat risau keraja gaji suami tidak cukup untuk menyara keluarga dan segala bayaran bulanan. Jika sebelum ini kami bersama-sama dalam hal ekonomi, kali ini suami saya pula yang harus menanganinya. Namun suami saya tenang sahaja dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kerisauan. Katanya rezeki Allah itu sentiasa ada, insyaAllah. Bill-bill dan makan pakai saya dia yang tanggung sepenuhnya.
Walaupun saya jenis yang amat rajin melakukan kerja-kerja di rumah, namun saya cuba lakukan sesuatu untuk menjana pendapatan. Saya buat pelbagai perniagaan online. Dapatlah juga pendapatan kurang lebih seribu sebulan. Duit tersebut saya gunakan untuk membantu suami, seperti biasa walaupun tak banyak. Sekarang income saya mendadak dan sangat-sangat kurang berbanding gaji suami. Ada dapat pengajaran, Allah nak tunjukkan kepada saya yang selama ini saya rasa boleh buat itu ini, tetapi sekarang terpaksa bergantung pada suami.
Suami juga mendapat hikmahnya. Jika sebelum ini saya paksa dia buat itu ini, sekarang dia banyak membantu saya dalam urusan rumahtangga. Lagipun saya sedang sarat mengandung, dah tak larat nak lakukan segala macam tugasan. Buat para isteri, jangan kita rasa kita hebat jika kita mampu berdikari. Satu lagi, jangan terlalu rajin bekerja sampai suami terabai. Suami pula jalankanlah tanggungjawab anda seperti biasa walaupun isteri anda mampu berdikari. Masauk campur sekali dalam hal rumahtangga, insyaAllah bahagia.
Semoga kisah ini dapat memberikan inspirasi buat anda. Oh ya, jika anda ingin mempelajari rahsia memikat suami yang padat dengan puluhan cara dan teknik terbaik, anda boleh telusuri laman web di bawah ini:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan