Luahan: Wahidah
Zaman yang semakin canggih membuatkan dunia semakin kecil. Jika dahulu, untuk berkumpul bersama sahabat-sahabat lama memang sukar untuk dilakukan. Namun kini ianya mudah untuk dilakukan dengan adanya internet, komputer dan telefon pintar. Ditambah pula dengan aplikasi-aplikasi media sosial seperti facebook, whatsapp, instagram dan sebagainya yang lebih memudahkan lagi urusan tersebut.
Di mana sahaja orang berbicara selalu tentang reunion atau dalam bahasa Melayu kita disebut sebagai perjumpaan semula. Reunion merupakan satu fenomena masa kini yang menyatupadukan rakan-rakan lama atau baru di pejabat, kawasan kejiranan, sekolah, universiti, malahan ada juga tadika.
Bayangkan betapa mudahnya untuk mengumpulkan sejumlah orang walaupun dari zaman kanak-kanak lagi sehingga ke usia tua. Jika seorang sudah dimasukkan ke dalam group, dia akan memasukkan pula rakan-rakan yang lain. Begitu juga rakan-rakan yang baru akan memasukkan rakan-rakan yang lain sehingga lengkap kumpulan itu dengan ahli sasaran.
Reunion memang banyak kebaikannya. Ianya bagaikan jejak kasih yang menyambung silaturahim serta menemukan kembali rakan-rakan yang telah lama terpisah. Ada yang bertahun-tahun dan ada juga yang telah berpuluh tahun tidak berjumpa. Jika dahulu bersahabat di alam persekolahan dan kita apabila berjumpa sudah beranak-pinak.
Namun ada juga keburukan tentang reunion ini. Sebenarnya ada segelintir orang yang bergaduh dan bercerai-berai gara-gara reunion. Tidak percaya, mari kita singkap kisah ini. Kisah yang meninggalkan titik hitam buat Wahidah dan Syuqur angkara reunion. Hanya satu pertemuan beramai-ramai dan menyebabkan hati Syuqur berubah. Inilah pengakuan Wahidah...
Saya telah bernikah dengan Syuqur sejak enam tahun yang lalu. Sebelum itu kami telah bercinta selama dua tahun di mana kami bertemu sewaktu saya menghadiri suatu majlis di rumah rakan saya di Shah Alam. Setelah setahun berkahwin, kami dikurniakan dengan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan selang dua tahun.
Saya bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta dan suami saya pula sebagai seorang pegawai di sektor awam. Sepanjang enam tahun perkahwinan, tidak ada sebarang masalah yang berlaku dalam rumahtangga kami. Syuqur adalah seorang suami dan juga seorang bapa yang baik, bertanggungjawab dan juga penyayang.
Boleh dikatakan hampir setiap tahun kami selalu melancong ke luar negara seisi keluarga. Kami juga menggunakan masa cuti panjang kami untuk menjelajah ke tempat-tempat yang menarik di dalam negara. Jika tidak ke mana-mana, kami duduk sahaja di rumah menjalani aktiviti rutin seperti biasa. Rumahtangga kami sangat harmoni dan dipenuhi dengan kasih sayang.
Saya merasakan kebahagiaan itu tergugat setelah dia menghadiri reunion anjuran rakan-rakan sefakultinya pada hujung tahun yang lalu. Dia telah bertemu semula dengan bekas kekasihnya pada zaman mereka bercinta di universiti dahulu. Inilah kali pertama suami menghadirkan diri walaupun setiap tahun rakan-rakan beliau mengadakannya.
Saya tidak menyangka perkara buruk ini akan terjadi kerana suami amat setia dengan saya sebelum ini. Saya tidak menyimpan sebarang prasangka buruk atau pun cemburu ketika beliau mahu menyertai reunion tersebut kerana saya tahu dia amat ikhlas dan luhur dalam perkahwinan kami. Jadi saya tidak menemani suami kerana menjaga anak-anak di rumah.
Selepas selesai majlis, perubahan yang amat ketara yang saya lihat adalah dia tidak akan berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap masa telefonnya senantiasa berada dalam genggamannya terutama sekali pada jam 10 malam dan ke atas. Saya memerhatikan saja perubahan sikapnya itu dan cuba berbaik sangka.
Biasanya jika anak-anak ingin menggunakan telefonnya untuk bermain game, selalu sahaja dia beri. Namun sekarang ini, pasti dia akan marah dan melenting jika telefonnya diusik atau dipegang. Saya semakin pelik dengan sikapnya yang semakin berbeza dari sebelum ini. Sifat penyayangnya semakin pudar kepada saya dan anak-anak.
Selain itu, dia tidak lagi membawa kami sekeluarga bersiar-siar atau makan angin seperti yang lazimnya dia lakukan sebelum ini. Anak-anak mula bertanya kenapa ayah mereka semakin hari semakin berbeza, seolah-olah kami sudah tidak kenal dengannya lagi. Terasa seperti orang asing walaupun tinggal serumah dan berjumpa setiap hari.
Suami saya kerap keluar tanpa membawa kami bersamanya. Setiap hari minggu, hanya saya dan anak-anak yang tinggal di rumah. Tak cukup dengan itu, dia mula keluar malam dengan alasan mahu berjumpa dengan rakan-rakan lama selepas reunion tersebut. Itu pun saya masih menjaga fikiran saya supaya tidak memikirkan perkara-perkara yang bukan-bukan.
Satu hari, suami saya ingin ke suatu tempat yang jauh selama tiga hari. Dia mengatakan yang salah seorang dari pekerja di bawah seliaannya akan mengadakan majlis perkahwinan di kampung. Saya tidak nampak tanda-tanda dia berbohong atau sesuatu yang mencurigakan. Jadi saya tidaklah bertanya apa-apa selain membenarkan sahaja dia pergi ke majlis tersebut.
Tuhan itu Maha Adil. Sebulan kemudian barulah segalanya terbongkar. Saya terjumpa resit sewa hotel yang tertulis di dalamnya bill makan dan minum untuk dua orang. Selain itu, saya juga menemui resit pembelian yang dikeluarkan oleh sebuah pasaraya di luar negara. Saya menjumpainya di dalam zip kecil yang berada di dalam beg pakaiannya. Tarikhnya juga sepadan dengan tarikh suami bertolak kononnya ke majlis perkahwinan staffnya.
Saya menangis seharian dan perasaan rasa tidak menentu. Hati saya pula merasa resah gelisah dan fikiran saya mula syak yang bukan-bukan tentang suami. Namun saya tetap berdoa agar apa yang saya fikirkan itu hanyalah khayalan semata-mata. Hendak tidur pun susah untuk saya melelapkan mata kerana risau dan tak tenang.
Kesabaran saya betul-betul diuji oleh Tuhan. Saya dimaklumkan oleh salah seorang teman saya di pejabat bahawa suami saya telah bernikah dengan kekasih lamanya itu di Thailand. Saya tidak percaya, namun setelah rakan saya menunjukkan beberapa keping gambar perkahwinan yang dikongsikan di laman facebook perempuan itu, saya terpaksa percaya.
Tiba-tiba saya teringat akan permintaannya untuk menghadiri majlis perkahwinan sebulan yang lalu. Masa itulah dia bernikah dengan perempuan perampas itu. Saya langsung tidak menangis atau merasa hiba kerana tidak mahu menjadi bodoh semata-mata untuk meratapi kecurangan suami yang semakin jauh dari kami anak beranak.
Ternyata kesetiaan suami terhadap saya telah berakhir dengan perkahwinannya itu!
Saya membuat keputusan untuk menyelesaikan perkara ini sebelum saya melakukan perkara-perkara yang kurang bijak. Semakin lama, semakin tertekan jiwa dan perasaan ini. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Setelah mendapatkan masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Dia ingin mengelak dengan alasan untuk bersegera ke tempat kerja. Namun dia kelihatan terkejut setelah saya menunjukkan resit hotel dan resit membeli belah yang saya temui sebelum ini. Saya tahu dia sedang mencari alasan untuk mempertahankan dirinya.
"Selamat pengantin baru"...saya ucapkan padanya tanpa sedikit pun rasa sedih di hati saya. Sebelum dia membuka mulut, saya sudahkan kata-kata saya kepadanya, "Saya nak abang bebaskan saya!!!" Saya ulangi dialog tersebut berkali-kali.
Kepercayaan saya terhadapnya telah hilang. Sampai hati dia melakukan perkara itu terhadap saya setelah apa yang saya korbankan selama ini untuknya? Saya tidak mahu memberikan peluang kedua buat suami. Saya merasa amat-amat kecewa kerana dikhianati sebegitu rupa oleh suami.
Akhirnya suami mengalah dan mengaku bahawa dia telah bernikah dengan kekasih lamanya itu di sempadan Thailand. Katanya, dia menerima perempuan itu lantaran merasa amat kasihan kerana dia masih belum-belum berkahwin akibat kecewa ditinggalkan dahulu. Walau apa pun alasannya, saya masih tidak dapat menerima kenyataan tersebut.
Bayangkan, dalam sekelip mata sahaja dia telah lupa bahawa saya telah enam tahun berkorban untuknya. Sakit demam dia, makan minum dia, segalanya saya jaga rapi. Hanya kerana bertemu kembali dengan kekasih lamanya itu, dia sanggup melupakan segala pengorbanan saya selama ini.
Saya merasa terkilan kerana dia bernikah tanpa terlebih dahulu meminta izin dari saya. Atau sekurang-kurangnya mengajak saya berbincang. Saya tahu dia berkemampuan dari segi ekonomi dan fizikal, namun saya masih belum dapat menerima hakikat bahawa saya sedang berkongsi kasih dengan perempuan lain.
Bukannya saya menolak takdir atau ketentuan Tuhan. Jika anda di tempat saya, saya yakin anda juga akan merasa apa yang sedang saya rasa pada ketika ini. Di manakah letaknya saya di hatinya? Sanggup dia mengabaikan saya dan anak-anak kerana mabuk cinta dengan perempuan itu. Sanggup pula dia berbohong untuk menyembunyikan perkahwinannya di sempadan.
Keluarga mertua menentang keras apa yang suami saya lakukan. Mereka menyebelahi saya. Tetapi semuanya sudah terlewat. Tak mungkin suami akan meninggalkan isteri barunya itu. Perempuan yang pernah menjadi kekasihnya dan kini menjadi isterinya tanpa restu dari keluarga dan saya.
Saya bertekad untuk menuntut dilepaskan dengan cara yang baik, namun ibu menasihati saya supaya tidak bertindak terburu-buru. Begitu juga dengan sahabat baik saya, Rina. Mereka meminta saya untuk memikirkan semula keputusan tersebut demi masa depan anak-anak. Perkahwinan yang telah lama terbina ini sayang sekali jika musnah gara-gara sikap gelojoh suami ingin berkahwin baru.
Hati saya benar-benar terluka. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini. Bagaikan ditoreh-toreh dengan pisau yang tajam. Sakitnya amat dalam...hanya saya seorang sahaja yang tahu. Anak-anak kini bagaikan tidak kisah sama ada ayahnya ada atau tiada di rumah kerana dah terbiasa dengan sikap suami. Nak diikutkan, mahu sahaja saya keluar dari rumah dan tinggal di rumah ibu bapa saya.
Ya, saya akui saya bukannya seorang isteri yang sempurna. Walaupun saya sentiasa melakukan apa yang isteri-isteri lain lakukan untuk keluarga, namun saya tahu ianya berpunca dari saya juga walaupun kecil. Mungkin saya ada mengabaikan atau kurang ilmu dalam melayan suami. Oleh sebab itulah dia dengan mudah menerima kekasih lamanya kembali dan sanggup menduakan saya.
Kepada isteri-isteri di luar sana, saya nasihatkan agar berhati-hati apabila suami anda ingin menghadiri majlis reunion atau majlis gathering. Jika suami ingin menyertainya, jangan biarkan suami pergi seorang diri. Anda harus ikut serta bersamanya. Pelbagai 'drama' atau slot jejak kasih yang akan berlaku dalam majlis seumpama ini terutamanya jika mereka bertemu dengan kenalan lama yang pernah singgah di hati mereka suatu ketika dahulu.
Semoga kisah ini tidak berlaku dalam rumahtangga anda. Oh ya, jika anda ingin mempelajari rahsia memikat suami yang padat dengan puluhan cara dan teknik terbaik, anda boleh telusuri laman web di bawah ini:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan